Hari itu sepatutnya merupakan hari yang murung dan sugul bagi sebuah keluarga kerana mereka telah kehilangan bapa mereka untuk meninggalkan dunia untuk sebuah tidur yang panjang untuk lebih mengenal dirinya.
Di saat semua ahli keluarga bersedih menyambut kematian, si anak yang usianya baru melepasi akhil baligh bertanya soalan tentang arwah kepada abangnya yang tua yang nyata semakin matang menghadapi saat-saat genting dalam hidup mereka.
Tanyanya,” macamana keadaan bapa? Adakah amalannya selama di dunia ini akan diterima? Aku tidak melihat bapa sebagai manusia yang sempurna kerana di dalam dirinya penuh dengan nilai-nilai amarah dan benci walau dia seorang yang dipandang alim di kampung kita”.
Abangnya yang sedang termenung agak tersentak dengan sapa dan tanya adiknya yang seorang itu. Memang dia tahu sikap bapa. Mereka hanya dua beradik di dalam keluarga, tiga beradik sebenarnya. Seorang ahli keluarga mereka telah meninggal dunia sewaktu usia 5 tahun kerana mengidap mengidap demam panas yang berpanjangan hingga membawa mati.
” Walau apapun, bapa telahpun dikebumikan dengan selamat. Semua tanggungjawabnya sebaga manusia di mukabumi ini telah selesai. Selainnya itu urusan Tuhan”.
” Aku melihat bapa sebagai manusia yang berdosa kerana hatinya kotor dengan daki duniawi. Dia memperlakukan ibu dengan kejam semasa hidupnya, dia memperlakukan aku anaknya dengan kasar, sekalipun dia tidak pernah mencium aku, aku tidak merasai kasih-sayangnya sehingga ke hari matinya”
”Ibu kita menangis. Itu luahan yang jujur dari hatinya walau dia tahu suaminya tidaklah sesempurna mana, kerana dia tahu bapa hanyalah seorang manusia, apa yang kamu expect tentang tahap kesempurnaan seorang yang namanya manusia?”
Si adik masih tidak berpuas hati, dipersoalkannya lagi..mengapa dan mengapa..
”Bagi aku bapa seorang munafik, dia hebat di mata masyarakat. Menjadi imam di kampung kita, dihormati kerana ilmu syariat dan hukum-hakamnya, tetapi sebagai ketua keluarga dia gagal berfungsi sebagai sepatutnya”.
”Dosa pahala hanya dalam perkiraan kita sebagai manusia adikku. Apa yang kamu faham tentang dosa? Apa yang kamu faham tentang pahala?
syorga dan neraka juga hanya dalam perkiraan kita, manusia. Apa yang lebih penting bagi kita mendoakan kesejahteraannya. Dan yang lebih penting, buangkanlah sifat amarah dan dendam dalam diri kamu sendiri. Itu sesuatu yang tidak baik untuk perjalanan nafasmu di dunia ini, yang akan menjadikan hidupmu lebih singkat dan penuh dengan elemen yang negatif. Apa guna kita benci membenci tentang cerita semalam dan hari ini. Selepas berpisah jasad dengan nyawa, itu bukan urusan kita lagi. Itu urusan pencipta yang telah menzahirkan tajalli sifatnya di dunia ini sebagaimana watak yang dia mahu kita lakonkan”
Nyata jawab abangnya yang terakhir memberikan jawapan yang sangat memuaskan kepada adiknya dan sejak itu dia tidak pernah bertanya lagi apatah membenci arwah bapanya.
No comments:
Post a Comment