Walaupun 16 Mei depan akan menentukan sama ada pertuduhan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada asas pendakwaan atau sebaliknya, namun yang paling penting kata seorang peguam muda, sesuatu pendakwaan itu bukan untuk memastikan tertuduh bersalah.
Menurut beliau yang juga ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, justeru apa yang menjadi keutamaan adalah kedua-dua belah pihak, pendakwa dan peguambela dibekalkan dengan bukti yang mencukupi bagi membuat penghujahan masing-masing.
" Bukan sahaja bukti-bukti yang memihak kepada pendakwaan malah bukti-bukti yang memihak kepada tertuduh juga," katanya kepada Tv Selangor.
Jelas Yusmadi, pertuduhan dan bukti-bukti yang diperoleh oleh pihak pendakwaan seolah-olah tidak boleh 'diusik' dan ini terbukti melalui bahan bukti yang pada asalnya ditolak mahkamah seperti berus gigi, botol air mineral dan tuala 'good morning' yang diperoleh ketika Anwar ditahan semalaman di IPK Kuala Kuala Lumpur,yang kemudiannya diterima kembali selepas dirayu oleh pihak pendakwaan.
Menurut Yusmadi, senario ini tidak ubah untuk melengkapkan 'jalan cerita' yang telah direkayasa oleh pihak tertentu untuk memastikan Anwar dimalukan dan DNA beliau diperoleh.
Namun ironinya pihak mahkamah seolah-olah menutup mata berhubung perkara atau pun bukti yang menyebelahi pasukan peguambela seperti isu tompokan air mani Saiful yang ditemui pada seluar beliau ketika kejadian itu didakwa berlaku.
" Apabil bukti air mani itu tidak diangkat, pada pandangan saya, saya yakin perkara itu kerana ia memihak kepada pihak pembelaan.
Di peringkat ini kes pendakwaan dan sekiranya menimbulkan keraguan yang amat tinggi dan membentuk keadaan sehingga hakim mengatakan bahawa tidak ada prima facie, kes itu tidak ada asas, sepatutnya kes itu dibuang,"kata Yusmadi.
" Apabila hanya bukti seperti berus gigi, tuala 'good morning' dan sebagainya sahaja yang dipersembahkan dalam hujah pihak pendakwaan seolah memberi gambaran seperti 'jigsaw puzzle' (teka-teki menyusun potongan gambar), satu permainan seolah-olah mereka hanya hendak melengkapkan cerita mereka seperti yang telah mereka skripkan," tambah beliau lagi.
Pertuduhan terhadap seseorang yang berkaitan adegan seks kata Yusmadi, selalunya menitikberatkan bukti forensik terutamanya bukti paling kritikal seperti air mani.
Namun dalam kes ini, beberapa sampel air mani yang ditemui tidak dihiraukan dan perkara yang meragukan seperti terdapatnya air mani pengadu sendiri pada seluar miliknya, cuba dihindari daripada dihujahkan.
" Di sini kita bukan mahu mendakwa seorang itu sehingga seorang itu mesti bersalah, tujuan pendakwaan adalah untuk mencari keadilan.
Dan di sini apabila gambaran sebenar keseluruhan tidak dibawa oleh pihak pendakwaan di dalam hujah mereka, sekali lagi pendakwaan ini dilihat membawa kepada satu motif.
Sebelum ini ahli kimia dan pakar DNA, Dr Seah Lay Hong merumuskan hasil kajiannya bahawa terdapat 3 profil DNA pada dubur Saiful iaitu 'Lelaki Y', lelaki penyumbang dan profil yang sepadan milik Saiful sendiri.
Justeru, peguam Karpal Singh sebelum ini berhujah mungkinkah Saiful seorang homoseksual pasif.
Mengulas hal sama, Yusmadi menambah, apa yang paling penting dalam kes ini ialah supaya Anwar terus diaibkan dan rencana politik beliau terganggu dengan terpaparnya kisah-kisah memalukan.
Sama dengan kes fitnah pertama katanya, media kawalan Umno-BN akan digunakan sebaik mungkin untuk membunuh karektor Anwar.
" Kita perlu ingat kepada 1998, perkara ini dibuat.
Iaitu 3 bulan utama, pendekatannya memfitnah, memalukan, tilam, tompokan air mani dan sebagainya tetapi tiga bulan selepas itu, semua bukti itu dibuang.
Maksudnya tidak di dalam rekod kes.
Sama juga pendekatan dalam kes ini.
Ditunjuk tilam, ditunjuk sebagainya tetapi sehingga habis kes pendakwaan, perkara itu tidak pun menjadi isu,"jelas beliau.
No comments:
Post a Comment