(Jenazah Allahyarham Kapten Sahimi disolatkan di rumahnya. Turut sama adalah Datuk Husam Musa, Exco kerajaan negeri Kelantan)
KOTA BHARU, 13 April: Kepulangan jenazah Allahyarham Kapten Sahimi Ghazali juruterbang helikopter yang ditimpa kemalangan di Dataran Perbandaran Sibu petang Ahad lalu disambut dengan kesedihan oleh anggota keluarganya.
Turut serta menyambut jenazah beliau adalah pemimpin kerajaan negeri yang diketuai Datuk Husam Musa jam 7.20 malam tadi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Sahimi meninggal selepas kemalangan helikopter yang dipandunya sebaik sahaja selesai menghantar para pembantu Timbalan Perdana Menteri yang berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
Jenazah allahyarham Sahimi, 38 yang juga bekas anggota polis tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 7.20 malam dengan pesawat khas jenis Nomed 20A milik Layang-Layang Air.
Pesawat yang diterbangkan khas dari Sibu itu mula berlepas dari lapangan terbang Sibu kira-kira jam 1.45 petang dan kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Senai, Johor Bharu untuk mengisi minyak sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Bharu.
Solat jenazah allahyarham Sahimi diimamkan Pengarah Jabatan Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Ustaz Ropein Hasan, di rumah saudara mangsa di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini selepas solat Isyak. Turut serta menyembahyangkan jenazah allahyarham adalah Husam sendiri.
Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Pohon Tanjung, Wakaf Mek Zainab. Turut menguruskan jenazah allahyarham adalah 15 anggota Unit Amal Kota Bharu yang diketuai Mohd Aliman Ismail.
Allahyarham ditimpa nasib malang apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu jam 1.50 tengah hari, setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus dikejarkan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam, tujuh jam selepas nahas.
Husam ketika ditemui berharap Allahyarham tergolong pada golongan orang yang syahid dalam menjalankan tugasnya.
“Saya juga berharap anggota keluarga tenang menerima takdir dan ketentuan Allah,”ujarnya.
Sempena kunjungan itu, Husam turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga dan akan mencadangkan pada kerajaan negeri untuk memberi sumbangan lain yang sewajarnya.
Abang allahyarham, Mohd Bizanuddin Ghazali, 45, menyifatkan allahyarham seorang adik yang baik, warak serta pendiam.
“Apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan Allah lebih tahu tentang ketentuan itu, kami sekeluarga redha,”ujarnya.
Isteri allahyarham Suriani Mohammad, 38 yang begitu tenang ketika ditemui juga turut redha di atas apa yang berlaku.
“Dia seorang suami yang baik dan saya redha pemergiannya,”ujarnya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu serta empat cahayamata, Salman, 13 yang kini sedang belajar di salah sebuah sekolah tahfiz, Mohd Helmi, 9, Yasmin Salsabila, 7 dan Iskandar, 4. |
No comments:
Post a Comment